PERMATA HATIKU

PERMATA HATIKU
Anak-anak adalah pendorong untuk aku terus melangkah kedepan, mengharungi onak dan duri. Kerana mereka aku masih bertahan dan akan terus menyayangi mereka selama-lamanya.

Tuesday, May 12, 2009

Mungkinkah?



Mungkinkah penderitaan ini terlalu berat
Membebani diri
Memenuhi ruang segumpal fikiran
Ataukah memori ini sudah penuh
Sehingga tidak dapat terus berfikir
Entah !
Mungkinkah jasadku
Terlalu menderita
Mengasihani diri yang terus dilanda bebanan
Air mata jatuh membasahi pipipun
Sudah tidakku sedari
Apakah diri ini betul betul berjauh hati?

Entah!
Aku sendiri tidak menyangka
Air mata terus mengalir tanpa ada kesedihan dalam diri
Apakah aku sudah terlalu sebati dengan derita
Sehingga aku tidak merasakan keperitannya
Dan jasadku terus merintih!

Hairan...
Tanpa mimpi sedih aku menangis dalam tidur
Tanpa sebak aku merasa kebingunggan
Lantas terlintas dalam benak ini
Jasadku merasai penderitaan ini
Walau zahirku cuba melupakannya.

Entah!
Aku mula mengasihani diriku
aku mula membedah rasa
Mungkinkah..
Hati in berjauh rasa
Atau...
Sebenarnya aku derita tanpa mahu menerimanya!

Kota Kinabalu
12/05/09

Saturday, May 9, 2009

Mengenangimu Mama


Mengenangimu mama
Kepiluan tergamit lagi
Mengingkarimu dulu
Membuatku menanggung sejuta sesal seumur hidupku
Tidak setitikpun jerih peluhmu dapat kubalas
Apa lagi membalas jasamu.

Mama...
Hari ini seluruh anak-anak mengingati ibu mereka
Hati ibu-ibu berbungga, bangga
Terhibur hati yang tercalar
Biar dalam derita
Wajah ibu tetap riang
Dan aku sendirian di sini
Merinduimu mama.

Andai kau masih bersamaku
Hanya satu kupinta
Aku mahu sujud di kakimu
Mencium tapak kakimu
Memohon ampun dan maaf
Dan andai kau mendengar keluhan dan rintihanku mama
Ampunkan anakmu ini.
Selamat hari ibu, mama tersayang.

Kota Kinabalu, 10/05/2009

Friday, May 8, 2009

MENANTI NOKTAH!


Menanti Noktah!

Terasa seperti ...
Mentari berhenti menyinar
Ombak tidak lagi membelai pantai
Bulan tidak lagi mengambang
Dan angin tidak lagi membelai alam.

Terasa seperti...
Awan akan terus mendung
Unggas tidak lagi menyanyi riang
Embun tidak lagi sesejuk salju
Dan Suria seperti malas menonjolkan diri.

Dan...
Terasa seperti...
Hidup ini tidak bermaya lagi
Biar bebanan seberat gunung
Biar derita seluas lautan samudera
Air mata sudah lesu mengalir
Antara sedih dan gembira
Semua seperti sama rasanya.

Terasa seperti
Jiwa ini terbang keawang-awangan
Semangat sudah mula membeku
Hari-hari hanya menanti mentari mengundur diri
Dan esok menanti Suria menegur alam
Lesu meneruskan langkah
Menanti noktah menamat perjalanan.

Kota Kinabalu, May 2009